Apa itu Hanami?

3630_10151377588382582_2105085732_n

 

Hanami (花見) jika diterjemahkan secara bulat-bulat bermaksud ‘melihat bunga’, tetapi di dalam budaya Jepun Hanami membawa makna menikmati keindahan bunga sakura yang kembang penuh. Ketika musim bunga terutamanya apabila bunga sakura mekar, kebanyakan orang Jepun akan menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan untuk sama-sama berkelah di bawah pepohon sakura. Ketika ini, anda akan dapat lihat kebanyakan taman-taman dan kawasan tepi sungai akan sesak dengan manusia. Kadangkala ada juga yang akan membawa set barbeku, kertas lapik untuk berkelah, meja dan kerusi, makanan yang pelbagai dan juga arak. Bagi mereka, hanami bersamaan dengan meminum banyak minuman keras dan berseronok sambil menikmati kecantikan bunga sakura.

11081371_10152847848827582_1909352368335728906_n

 

Jenis sakura

Bunga sakura mempunyai pelbagai jenis sehingga dikatakan terdapat sebanyak 600 jenis bunga sakura. Di sini saya akan memperkenalkan 4 jenis bunga sakura yang lazim didapati di Jepun.

  1. Somei Yoshino

ソメイヨシノ

80% daripada sakura di Jepun adalah dari jenis Somei Yoshino. Kelopak bunganya berwarna merah jambu pudar seakan keputih-putihan dan lazimnya akan berkembang mekar kira-kira awal April. Somei Yoshino adalah jenis sakura paling popular dan paling lazim dijumpai di seluruh Jepun.

  1. Shidarezakura

枝垂桜

Shidarezakura atau turut dikenali juga sebagai ‘sweeping cherry’, merupakan sejenis bunga sakura yang dahan pokoknya berjuntai ke bawah dan dahannya sangat rendah. Anda boleh dapati banyak shidarezakura yang berumur beratus-ratus tahun di Jepun. Semakin tua dan besar pokoknya, semakin cantik bunga sakura di dahannya.

  1. Kawazuzakura

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kawazuzakura mungkin adalah jenis sakura yang paling awal berbunga pada musim bunga di Jepun. Kawazuzakura mudah dikenal pasti dengan bunganya yang besar dan berwarna merah jambu. Apabila bunganya mekar penuh, warnanya kelihatan sangat terang dan sangat cantik.

  1. Shibazakura

芝桜

Shibazakura adalah sejenis sakura yang tumbuh di atas tanah dan akan menutupi tanah dengan bunganya yang berwarna merah jambu, bunga ros dan juga putih.

 

Bilakah waktu terbaik untuk Hanami?

482238_10151386258657582_232847983_n

Adalah sangat penting untuk mengetahui waktu terbaik untuk hanami. Bunga sakura hanya mekar kira-kira dalam seminggu sahaja. Disebabkan ini, lazimnya rakyat Jepun akan sentiasa melihat ramalan cuaca dan juga ramalan sakura apabila musim bunga tiba. Waktu untuk sakura mekar penuh adalah berlainan untuk setiap kawasan kerana sakura akan mula mekar daripada selatan dan seterusnya ke utara Jepun. Cuaca pada awal musim bunga pula senang berubah-ubah. Bunga sakura yang sedang mekar penuh sangat cantik untuk dilihat tetapi sangat sensitif dengan angin dan hujan. Anda sangat bertuah sekiranya dapat berhanami ketika cuaca cerah dan panas, tetapi suhu mungkin akan berubah secara drastik apabila tiba waktu petang.

 

Tips Hanami untuk Muslim

Hanami adalah aktiviti luar yang santai, jadi adalah lebih baik jika dapat berhanami dengan persiapan yang lengkap. Di sini merupakan tips-tips untuk Muslim di Jepun yang ingin menikmati Hanami.

Ramalan cuaca. Cuaca pada awal musim bunga mudah berubah-ubah. Kerap menyemak ramalan cuaca sebelum anda memilih tarikh untuk berhanami sangat membantu untuk anda mendapat pengalaman hanami yang terbaik.

388601_10151386265657582_951760858_n

Bawa pakaian sejuk dan tebal. Anda bertuah sekiranya dapat berhanami ketika cuaca cerah dan panas tetapi suhu kemungkinan akan turun dengan mendadak menjelang waktu petang. Membawa pakaian sejuk dan tebal berlebihan adalah idea yang baik. Dengan menyemak ramalan cuaca juga, anda boleh mengetahui suhu pada hari tersebut, keadaan angin dan ini dapat membantu anda dalam memilih pakaian sejuk yang sesuai.

Kain alas piknik. Ketika hanami, anda akan melihat ramai yang akan menghamparkan kain alas piknik berwarna biru.

47065_10151386260212582_1660058866_n

Keluar rumah dari awal pagi. Jika anda ingin mendapat tempat yang baik, anda harus keluar rumah dari awal pagi. Pada hujung minggu yang cuacanya baik dan sakura pula sedang mekar penuh, kebanyakannya ada yang sudah mula mengambil tempat malam sebelum itu lagi. Mereka akan menghamparkan kain alas biru dan ada juga yang sudah berkhemah pada malam itu.

Sejadah. Sebagai seorang Muslim, kita mestilah menunaikan solat fardhu walau dimana jua kita berada. Apabila berhanami, saya sering solat di bawah pohon-pohon sakura bersama rakan-rakan Muslim saya yang lain. Membawa sejadah dapat memastikan kita solat di permukaan yang bersih.

554086_10151138811332582_1694448009_n

Air bersih untuk wudhu. Semasa pergi berhanami, saya sentiasa membawa botol air 500 mL yang berisi dengan air paip.Spot-spot hanami seperti taman-taman dan juga tepian sungai lazimnya mempunyai tandas awam tetapi kebanyakannya adalah jenis tandas kering. Saya selalu membawa botol air masuk ke tandas, membuka tudung saya dan mengambil wudhu dengan berhati-hati supaya tidak terlalu banyak air yang tumpah kerana tandas mereka sentiasa kering.

74751_10151138811022582_1688867893_n

Menyiapkan makanan dari rumah. Spot hanami yang popular lazimnya mempunyai gerai-gerai menjual makanan dan minuman tetapi pilihan untuk Muslim adalah sangat terhad.

Menyiapkan makanan dari rumah adalah idea terbaik untuk Muslim berhanami.

Membawa pulang sampah. Di Jepun, budaya membawa pulang sampah adalah sesuatu yang normal. Walaupun anda akan berhanami di taman-taman awam, anda akan perasan akan bilangan tong sampah yang sedikit. Bawa plastik sampah untuk membuang sampah dan bawa pulang sampah-sampah tersebut. Disebabkan inilah taman-taman di Jepun sangat bersih walaupun tong sampahnya sangat sedikit.

Perkara yang dilarang ketika Hanami

11110885_10152851708102582_2946376396732733021_n

Budaya hanami adalah sesuatu yang sangat disukai oleh rakyat Jepun, jadi untuk memastikan setiap orang dapat menikmati kecantikan bunga sakura ketika berhanami, berikut merupakan perkara-perkara yang dilarang dilakukan ketika anda berhanami.

  • Jangan memetik dahan pokok sakura dan juga bunga sakura.
  • Dilarang memanjat pokok sakura.
  • Dilarang menggoncang pokok dan dahan pohon sakura.
  • Jangan meletakkan barang persendirian di alas piknik orang lain.
  • Dilarang membuang sampah merata-rata.

Semoga anda berpeluang untuk menikmati kecantikan sakura pada tahun ini!

 

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

CAPTCHA


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.