Makan sebanyak mana strawberi jenis Tochiotome yang anda mahu dalam masa 30 minit!
Hujung minggu lalu saya sekeluarga dan rakan-rakan Jepun saya telah pergi ke ladang strawberi di Domannaka Tanuma untuk memetik sendiri strawberi dan makan sebanyak mana strawberi yang kami mahu! Aktiviti memetik strawberi pada musim sejuk dan musim bunga merupakan salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh saya setiap tahun. Sejak menjejakkan kaki di Jepun, buah strawberi menjadi buah kegemaran saya kerana strawberi di Jepun sangat manis dan mempunyai banyak jenis dan baka; sesuatu yang menarik bagi saya.
Sesudah sampai di Domannaka Tanuma Michi no Eki, kami terus mencari tempat letak kereta. Baru-baru ini mereka telah mengubah suai dengan membuat lebih besar tempat letak kereta jadi kami hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mendapatkan tempat letak kereta yang kosong. Selain itu juga, tiada bayaran dikenakan di sini tidak kira berapa lama anda meletakkan kereta anda.
Kami sudah membuat tempahan 2 minggu awal terlebih dahulu sebelum kami datang. Untuk memastikan anda boleh memetik sendiri strawberi, adalah lebih baik untuk membuat tempahan seawal yang mungkin kerana aktiviti memetik strawberi ini sangat popular di kalangan orang Jepun dan juga orang luar di Jepun. Ada kemungkinan untuk anda tidak dapat memetik strawberi jika anda tidak membuat tempahan awal.
Setibanya kami di resepsi, kami hanya menyebutkan nama kami dan mereka menyemak senarai tempahan mereka. Seorang dewasa dikenakan bayaran sebanyak 1500 yen dan tiada bayaran dikenakan untuk anak kecil saya (bawah 3 tahun) manakala 700 yen akan dikenakan kepada kanak-kanak sekolah rendah. Selepas selesai dengan bayaran masing-masing, mereka membawa kami ke rumah hijau. Terdapat banyak rumah hijau, dan semuanya penuh dengan strawberi!
Masa yang diberikan untuk kami berada di dalam rumah hijau adalah 30 minit. Dalam masa 30 minit ini, kami dibenarkan untuk memakan sebanyak mana strawberi yang kami mahu! Mereka memberikan kami cawan kertas untuk membuang daun strawberi di dalamnya. Bakul juga disediakan untuk kami meletakkan jaket kami kerana suhu di dalam rumah hijau agak tinggi. Jenis strawberi di ladang strawberi Domannaka Tanuma ini adalah strawberi Tochiotome, dan ia sangat manis dan sangat sedap! Kami hanya mampu makan dengan banyak pada 10 minit yang pertama sahaja. Kami juga banyak menangkap gambar untuk dimuat naikkan di sosial media masing-masing! Anak kecil saya sangat sukakan strawberi dan dia makan dengan sangat banyak kali ini.
Setelah 30 minit berlalu, kami pulang semula ke resepsi tadi kerana rakan saya mahu membeli sedikit buah tangan untuk sahabatnya. Servis penghantaran sejuk juga turut disediakan, bermakna anda boleh membeli strawberi dan terus menghantar kepada sahabat anda sebagai buah tangan!
Kami juga menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di Domannaka Tanuma Michi no Eki sebelum pulang. Terdapat banyak orang Jepun datang ke sini terutamanya pada hujung minggu, sama ada untuk menghabiskan masa bersama anak-anak mereka di kawasan bermain ataupun untuk membeli sayur-sayuran segar dan produk tempatan dengan harga yang murah di sini.
Baca lebih lanjut tentang strawberi di sini :
http://halalmedia.jp/archives/21377/strawberry-hunting-in-sano-city/
Artikel Berkaitan
[bc url=”https://halalmedia.jp/my/archives/23063/muslimah-friendly-hair-salon-lynden-in-sano/”]
[bc url=”https://halalmedia.jp/my/archives/21546/perfect-guide-of-halal-food-stores-in-sano-city-tochigi/”]