Written by Hafizah Khusni
Hanya mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari utara Tokyo, terletaknya Sano Premium Outlet di bandar Sano, Tochigi. Sano Premium Outlet merupakan salah satu pusat membeli belah berkonsep outlet yang terbesar di dalam Kantou.
Bandar Sano juga sedang berusaha untuk menjadikan Sano sebuah bandar yang mesra Muslim. Hasilnya, semakin banyak restoran-restoran yang mula menyajikan menu mesra Muslim, dan salah satunya adalah restoran Teppan Dining SUN. Kami berpeluang untuk menemu ramah pemilik restoran ini iaitu Encik Ooga Norifumi tentang bagaimana dan mengapa beliau mengambil keputusan untuk mencuba menyajikan menu mesra Muslim di restorannya.
Hafizah: Sedikit pengenalan tentang restoran anda.
Mr.Ooga: Teppan Dining SUN hanya mengambil kira-kira 1 minit dengan berjalan kaki dari stesen JR Sano (South exit). Sajian utama kami adalah daging dan sayur yang dipanggang di atas pan plate panas yang turut dikenali sebagai Teppanyaki. Kami menggunakan sayur-sayuran tempatan dan kami menggunakan konsep sederhana dengan sentuhan moden untuk interior restoran kami. Kami juga menyajikan menu Halal untuk pelanggan-pelanggan Muslim.
Hafizah: Mengapa anda mengambil keputusan untuk menyajikan menu Halal di restoran anda?
Mr.Ooga: Saya mempunyai kawan Muslim yang berasal dari Pakistan dan saya juga mengetahui sedikit sebanyak tentang batasan dan peraturan dalam Islam tentang makanan dan kesusahan Muslim di Jepun untuk makan di luar. Muncul perasaan ingin membantu dan apabila terfikir untuk mencuba menyajikan menu Halal, saya mendengar berita bahawa Nikkoken sudah pun mula menyajikan menu-menu Halal untuk pelanggan-pelanggan Muslim. Dari situ, saya mendapat banyak tunjuk ajar dan pertolongan dari Nikkoken dan akhirnya berjaya menyediakan beberapa menu Halal.
Hafizah: Bilakah anda mula menyediakan menu Halal di restoran anda?
Mr.Ooga: Kami mula menghidangkan menu Halal pada bulan Oktober tahun 2015.
Hafizah: Pelanggan Muslim bagaimana yang datang untuk makan di restoran Teppan Dining SUN ini?
Mr.Ooga: Kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang berumur sekitar 20an hingga 40an, keluarga, dan juga kumpulan yang terdiri daripada rakan-rakan sebaya. Kami juga pernah beberapa kali menerima kunjungan pelanggan daripada prefektur lain. Kami sangat gembira dan berterima kasih dengan kehadiran mereka yang hadir dari jauh semata-mata untuk makan di restoran kami.
Hafizah: Apakah menu halal yang boleh didapati di restoran anda?
Mr.Ooga: Antara menu halal yang dihidangkan di restoran kami adalah set shabu-shabu, gyudon, sosej halal daging & ayam Jepun, sayur-sayuran panggang, stik burger, lamb chop, stik sirloin, fillet, gyoza dan juga ayam goreng.
Hafizah: Apakah menu yang paling banyak ditempah oleh pelanggan Muslim?
Mr.Ooga: Gyudon dan stik burger antara menu terkenal di kalangan pelanggan Muslim. Menu daging kambing biri-biri juga mula meraih populariti sejak kami mula menyajikannya baru-baru ini.
Teppan Dining SUN
Opening Hours | Mon-Wed 17:30-23:00(L.O.22:30) Fri, Sat, the days before National Holidays 17:30-24:00(L.O.23:30) |
---|---|
Close | Sunday |
Address | 〒327-0846 Wakamatsucho 31, Sano-shi, Tochigi |
Phone | 050-5572-0378 |
Halal Gourmet Japan | https://www.halalgourmet.jp/restaurant/643 |