PESONA MUSIM LURUH DI BANDAR SANO
Mengagumi keindahan pemandangan semula jadi empat musim adalah sesuatu yang normal bagi setiap individu di Jepun. Seperti sakura yang menjadi simbol kepada musim bunga, dedaunan bertukar warna menjadi simbol kepada musim luruh di negara matahari terbit ini. ‘Hanami’ adalah perkataan yang sering didengari di kalangan bangsa Jepun apabila tibanya waktu kemuncak bunga sakura mekar penuh, manakala ‘kouyou’ pula adalah perkataan yang lazim didengari apabila tibanya musim luruh. Adakah anda tahu mengenai betapa cintanya mereka terhadap musim yang penuh dengan warna ini?
‘Kouyou’ (紅葉, apabila diterjemahkan secara terus bermaksud dedaunan merah) membawa maksud ‘daun-daun bertukar warna’. Kouyou memberi simbol dedaunan bertukar warna daripada warna hijau terang pada musim panas kepada kombinasi warna merah, kuning dan coklat yang memberikan pandangan indah pada musim luruh. Budaya mengagumi dan menikmati kecantikan daun-daun yang bertukar warna ini dikatakan lahir pada zaman Heian dan sejak dari itu banyak pokok-pokok mapel, ginkgo dan oak ditanam untuk tujuan ini di Jepun.
Pada zaman kini, piknik atau memandu di kawasan pergunungan dan kawasan luar bandar merupakan aktiviti lazim pada musim luruh untuk menikmati keindahan musim warna warni ini. Musim luruh di Jepun yang indah dan mengagumkan ini menyebabkan ramai pelancong dari luar negara yang turut datang melawat ke Jepun semata-mata untuk melihat sendiri keindahan musim ini. Kawasan bandar juga memberikan pemandangan indah dengan daun-daun berguguran, seolah-olah seluruh bandar diwarnai dengan warna merah dan kuning.
Kouyou bermula dari Hokkaido, iaitu kira-kira pertengahan bulan September. Untuk kawasan Tohoku, waktu terbaik untuk menikmati keindahan Kouyou adalah pada bulan Oktober manakala November dan Disember pula adalah waktu kemuncak untuk kawasan Kantou dan Kyushu. Waktu terbaik untuk pengalaman Kouyou anda di bandar Sano adalah pada bulan November, namun waktu ini berubah-ubah setiap tahun. Di sini saya senaraikan antara tempat-tempat menarik untuk Kouyou di bandar Sano!
Houraisan (蓬莱山)
Alamat: 〒327-0301 Tochigi-ken Sano-shi Sakuharacho
Akses: Kira-kira 50 minit (28 km) dari Stesen Sano JR dengan menaiki kereta
Houraisan (蓬莱山) Kredit foto: http://blogs.yahoo.co.jp/hasemi_1/33910468.html
Dikira sebagai salah satu daripada tiga gunung suci di Jepun, Houraisan dianggap sebagai sebuah tempat suci oleh masyarakat tempatan. Ruang pejalan kaki turut disediakan dan keindahan alam semula jadi terutamanya daun-daun berwarna pada musim luruh pasti memberikan pemandangan yang tidak dapat dilupakan pada sesiapa yang melihatnya. Kawasan tempat letak kereta disediakan tetapi dengan bilangan yang terhad.
Karasawasan (唐沢山)
Alamat: 〒327-0801 Tochigi-ken Sano-shi Fujicho
Akses: Kira-kira 16 minit (7.2 km) dari Stesen Sano JR dengan menaiki kereta
No. telefon: 0283-24-1138
Karasawasan (唐沢山) Kredit foto: Google Image
Dengan ketinggian 242 meter dari paras laut, Gunung Karasawa adalah sebuah taman semula jadi yang dipenuhi dengan kehijauan terutamanya pohon mapel Jepun. Ruang pejalan kaki turut disediakan dari bawah bukit hingga ke puncak. Pada musim luruh, pelawat boleh menikmati keindahan daun-daun hijau yang bertukar warna menjadi merah dan kuning. Di puncak bukit juga masih ada tinggalan istana dari zaman Warring States Period menjadikan Gunung Karasawa ini sebuah tarikan bersejarah di bandar Sano. Kawasan tempat letak kereta turut disediakan.
Kinzoin (金蔵院)
Alamat: 〒327-0514 Tochigi-ken, Sano-shi, Senbacho 463
Akses: 17 minit (5 km) dari Stesen Kuzuu Tobu line dengan menaiki kereta
No. telefon: 0283-85-3067
Kinzoin (金蔵院) Kredit foto: http://ameblo.jp/mary-joanna/entry-11956792426.html
Kinzoin adalah sebuah tokong yang terletak di Senbacho di dalam bandar Sano. Tokong ini juga terkenal sebagai sebuah tempat yang cantik untuk aktiviti Kouyou di kalangan rakyat tempatan. Sebuah trip Kouyou yang luar biasa, kerana anda akan menikmati keindahan musim luruh di sini dengan latar belakang tokong yang memberikan impak yang lebih besar kepada pelawat yang hadir.
Related Article
[card url=”http://halalmedia.jp/archives/16924/nature-lovers-would-love-this-super-clear-pond-at-sano-tochigi-prefecture/”]