Let’s try to use Coin Locker.
Written by Hafizah Khusni San
Melancong boleh menjadi beban apabila anda terpaksa membawa banyak bagasi bersama. Dengan jadual yang padat, bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan bagasi yang besar dan berat adalah sesuatu yang memenatkan bagi semua pelancong.
Jepun yang terkenal sebagai sebuah negara yang efisien, menyediakan khidmat coin locker di kebanyakan lapangan terbang, stesen kereta api dan juga stesen kereta api bawah tanah untuk menyelesaikan masalah ini. Terdapat juga tempat tarikan pelancong yang menyediakan coin locker untuk memudahkan para pelancong. Konsep coin locker ini sama sahaja dengan locker yang terdapat di sekolah-sekolah atau kolam renang awam di seluruh dunia. Tidak perlu ragu-ragu untuk menggunakan coin locker ini kerana coin locker di Jepun sangat selamat untuk digunakan kerana jarang dipecah oleh orang lain.
Jika anda selalu menggunakan coin locker, sentiasa sediakan koin 100 yen di dalam poket anda kerana kebanyakan coin locker di Jepun menggunakan koin 100 yen. Terdapat juga model coin locker terbaru yang dilengkapi dengan cara pembayaran menggunakan cara elektronik, seperti Suica atau Pasmo.
Coin locker yang boleh dibayar menggunakan sistem elektronik
Negara Jepun turut mencipta coin locker yang mempunyai fungsi sama seperti peti sejuk. Ini bermakna anda boleh membeli barang yang perlu berada dalam suhu rendah seperti daging, ikan, kek dan lain-lain dan letakkan di dalam coin locker ini dan boleh menyambung aktiviti anda seterusnya dengan tangan kosong! Ciptaan yang sangat hebat dan memudahkan semua!
Coin locker yang terdapat di Aeon Sano New City. 8 locker di sebelah kanan adalah locker yang mempunyai fungsi seperti peti sejuk, manakala 8 locker yang lain adalah coin locker yang biasa (tanpa fungsi sejuk).
Anda boleh dapati karakter kanji 「冷蔵」yang ditulis di pintu locker. Kanji ini membawa maksud ‘sejuk’ dan locker ini berfungsi sama seperti peti sejuk.
Mesin penukar wang turut diletakkan di sebelah coin locker untuk memudahkan pengguna menukar wang ke tukaran kecil terutamanya 100 yen.
Sekarang saya akan menerangkan bagaimana untuk menggunakan coin locker. Kebanyakan coin locker berfungsi dengan cara penggunaan yang sama. Yang berbeza hanyalah cara pembayaran (samada menggunakan koin ataupun elektronik) dan harga.
1.Cari locker yang tidak digunakan. Kunci yang tergantung di luar locker menandakan locker tersebut tidak digunakan. Ia tidak akan terkunci selagi anda tidak membuat bayaran dan mengambil kunci tersebut. Masukkan barang yang anda ingin letakkan di dalam coin locker.
Coin locker di Stesen Sano Palport
2.Masukkan koin 100 yen untuk membuat bayaran. Anda boleh dapati harga untuk locker tertulis di hadapan locker ataupun berhampiran dengan pintu locker. Pusingkan kunci untuk mengunci dan tarik kunci.
Harga bergantung kepada saiz locker yang anda ingin gunakan. Sebagai contoh, (dari kiri) 300 yen untuk locker saiz besar, 200 yen untuk locker bersaiz medium dan 100 yen untuk locker bersaiz kecil.
3.Apabila anda ingin mengambil semula barang anda, masukkan semula kunci dan pusing kunci untuk membuka pintu locker. Lazimnya kunci akan mempunyai nombor locker yang anda gunakan.
Sedikit tips untuk dikongsikan
•Ingat lokasi coin locker yang anda gunakan. Sesetengah stesen sangat mengelirukan terutamanya di bandar-bandar besar dan ini boleh menimbulkan kekeliruan di mana anda meletakkan barang anda. Ambil gambar coin locker untuk membantu anda ingat di mana lokasi coin locker tersebut.
•Letakkan kunci di tempat yang selamat. Jika anda kehilangan kunci, bayaran lebih perlu dilakukan untuk mengganti kunci yang hilang. Kebanyakan kunci locker mempunyai tag bersama, gantungkan kunci di tempat yang anda boleh ingat.
•Sesetengah coin locker hanya boleh digunakan dalam waktu-waktu tertentu sahaja. Sebagai contoh, coin locker di Sano Station Palport hanya boleh digunakan dari pukul 9 pagi hingga 10 malam hari tersebut sahaja. Jika anda menggunakan coin locker tersebut melebihi masa yang ditetapkan, anda perlu membuat bayaran lebih untuk hari seterusnya untuk membuka locker. Pastikan anda semak sebelum menggunakannya kerana masa penggunaan berlainan mengikut locker.
Peringatan menggunakan coin locker yang ditampal di pintu coin locker dalam bahasa Jepun.
•Jika anda menggunakan keretapi ketika melancong, anda boleh dapati kebanyakan coin locker berada berdekatan dengan pintu keluar.
Coin lockers (di dalam kotak merah jambu) di pintu keluar stesen Sano.
•Jika anda menggunakan locker melebihi waktu yang dibenarkan (maksimum 3 hari tetapi setiap locker berlainan, semak sebelum guna) pihak pengurusan akan membuka locker dan mengambil barang anda. Jika ini terjadi, anda boleh mengambil semula barang anda di pejabat pengurusan ataupun tempat yang telah ditetapkan (lazimnya akan ditulis di peringatan yang ditampal di pintu coin locker).
Related Article
[card url=”http://halalmedia.jp/archives/16727/enjoy-muslim-friendly-town-sano-premium-outlet-mountain-welcomes-cats-best-gyoza-japan/”]